KUALA LUMPUR, 24 Sept: PETRONAS baru-baru ini mengumumkan penajaan sebanyak RM320 juta kepada 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari seluruh Malaysia di bawah inisiatif Powering Knowledge.
Seramai 600 pelajar cemerlang berjaya dipilih daripada hampir 6,000 pemohon melalui penilaian berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin berkata, para pelajar yang mempamerkan kualiti kepimpinan serta keaktifan dalam aktiviti kokurikulum lebih cenderung kepada pembelajaran sepanjang hayat, dan itulah bakat yang ingin dicungkil PETRONAS.
“Seramai 200 pelajar akan melanjutkan pengajian ke luar negara manakala 400 akan belajar di dalam negara. Bidang-bidang yang akan diceburi pelajar-pelajar ini termasuklah bidang kejuruteraan seperti kejuruteraan kimia, mekanikal, elektrik dan instrumentasi dan sebagainya.
“Kami juga menghantar mereka untuk mempelajari subjek perniagaan seperti ekonomi, perakaunan dan kewangan, serta psikologi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 September 2024.
Dalam pada itu, anak-anak Sarawak juga sempat berkongikan perasaan gembira mereka setelah menerima penajaan pendidikan daripada PETRONAS dan berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan negara selepas tamat pengajian.
“Saya sangat berbangga. Terima kasih kepada pihak Petronas pihak Petronas powering knowledge kerana dengan peluang ini saya dapat melanjutkan pelajaran saya dengan lebih mudah dan ini sangat membantu mengurangkan beban keluarga saya dan saya ingin juga berterima kasih kepada guru-guru saya di sekolah. Saya tidak akan mensia-siakan dan akan buat yang terbaik dan menjadi seorang engineer yang bertauliah,” kata Fibocapillo Paing anak Pong, anak Sarawak dari Sarikei yang akan melanjutkan pelajarannya di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Petroleum.
Seorang lagi pemegang biasiswa dari Sarawak, Paulyn Debra anak Adrian berkata, ini adalah peluang untuknya membuktikan kebolehan memandangkan tidak ramai orang yang berpeluang mendapat tawaran PETRONAS ini.
“Saya berharap untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran supaya layak bekerja dengan PETRONAS dan membantu negara ini,” katanya.
Seramai 600 penerima tajaan ini akan meneruskan pendidikan mereka di universiti terkenal di dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan, dan Jepun.
Pada majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh bersama dengan Ruslan telah menyampaikan tajaan secara simbolik kepada para penerima.
Majlis tersebut dihadiri 1,000 tetamu termasuk pelajar, pihak berkepentingan, dan wakil dari universiti dan kolej terkemuka.
Inisiatif Memperkasakan Ilmu adalah bukti komitmen PETRONAS sejak 50 tahun lalu untuk memupuk usaha akademik pelajar dan pendidik, serta memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran dan pendidikan untuk berkembang dalam dunia yang semakin dinamik. – TVS