KUCHING, 24 Sept: Mempelajari teknik berkaitan sukan tenpin boling dengan melayari dan menonton video-video yang dipaparkan di platform media sosial ‘Tiktok’ merupakan rahsia kejayaan Jacqueline Kaboh meraih pingat emas dalam acara Tenpin Boling Wanita TB3.
Menurutnya, dia sering menonton video berkaitan sukan tenpin boling di aplikasi Tiktok agar dapat meningkatkan ilmu pengetahuannya serta mempelajari teknik baharu yang dapat diaplikasikan dalam latihan.
“Saya selalu menonton video di Tiktok. Bagi saya apabila saya melihat video berkaitan sukan ini, sekali gus saya dapat mempelajari dengan lebih mendalam tentang sukan ini.
“Dari Titktok juga saya meminati sukan ini. Jadi ini sangat berguna bagi saya mencari ilmu serta teknik yang sesuai untuk saya lakukan ketika latihan,” katanya ketika ditemui TVS pada acara Penyampaian Pingat kepada atlet Para SUKMA 2024 yang berlangsung di Megalanes Emart Batu Kawa hari ini.
Tambahnya, platform media sosial perlu dimanfaatkan dengan baik kerana ia merupakan medium terbaik dan berkesan dalam memberi impak positif kepada masyarakat.
Walaupun ini merupakan penampilan sulungnya pada Para SUKMA, namun ia tidak menghalang atlet berusia 36 tahun itu untuk meraih pingat emas buat kontinjen Sarawak.
Berbekalkan pengalaman sembilan bulan, Jacqueline terus mempamerkan aksi yang konsisten untuk mengesahkan kejuaraan meraih pingat emas dalam acara Tenping Boling Wanita TB3 dengan 1,011 jatuhan pin.
Sementara itu, pingat perak diraih atlet Sabah, Athirah Azman dengan 766 jatuhan pin dan atlet Perak, Siti Hajar Hasan dengan 734 jatuhan pin untuk pingat gangsa. – TVS