KUCHING, 24 Sept: Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan tidak pernah melemahkan semangat juang Muhammad Nur Iman Khairi yang tampil sebagai perenang muda pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini.
Muhammad Nur Iman, 14, dari Johor yang membuat penampilan pertama pada temasya dwitahunan kebangsaan itu berkata beliau tidak pernah menganggap kekurangan fizikal sebagai halangan, sebaliknya adalah ‘nilai tambah’ untuk menjadikan kolam renang sebagai lubuk rezeki.
Berkongsi kisah penglibatannya dalam sukan renang, Muhammad Nur Iman berkata beliau ‘disunting’ kelab renang Pro Swim Excellent Muar yang bekerjasama dengan pasukan renang para Johor pada usia 12 tahun setelah dicadangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya tidak bersukan sebelum ini sampailah usia 12 tahun. Jurulatih datang ke rumah tanya kalau saya sudi untuk menyertai pasukan renang dan dalam keluarga, saya seorang sahaja bersukan.
“Pada mulanya memang agak susah sebab tiada asas latihan, tapi jurulatih banyak ajar. Saya tiada tangan jadi saya kena guna kekuatan kaki untuk bergerak dalam kolam renang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.
Anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata jasa jurulatihnya Muhammad Rafiq Amir, 22, sangat besar terutama sanggup berhabis wang untuk berulang-alik dari Tanjung Malim, Perak ke Muar, Johor untuk melatih beliau di sebuah Kompleks Sukan di Muar.
Muhammad Nur Iman yang kehilangan bapa pada usia sembilan tahun bersyukur dengan peluang diberikan dan bertekad membalas jasa ibunya yang membanting tulang membesarkan mereka dengan bekerja sebagai tukang cuci di sekolah.
Sementara itu, Muhammad Rafiq yang merupakan pelajar tahun empat jurusan Pendidikan Sains Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganggap sumbangan itu sebagai bantuan kecil bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak berasa rendah diri.
“Pro Swim Excellent Muar itu sebenarnya kelab renang keluarga dan kita taja Muhammad Nur Iman ini sepenuhnya tanpa sebarang kutipan wang dan saya diminta menjaga dia sepanjang proses menjadi atlet renang,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Nur Iman menamatkan saingan di tempat keenam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S6 (kecacatan fizikal).
Pingat emas dimenangi Shahafiq Abdullah dari Sabah selepas mencatatkan masa 1 minit 17.18 saat (s), diikuti wakil Selangor, Kelvin On perak (1:23.93s) dan Mohd Zulkiffli Mazeri dari Pulau Pinang gangsa (1:36.50s).
Muhammad Nur Iman berpeluang menaiki podium apabila turun beraksi dalam tiga acara lagi iaitu 50m kuak kupu-kupu S6, 50m gaya bebas S6 dan 100m kuak lentang S5-S6. – TVS