NICOSIA, 24 Sept: Para menteri dan pegawai tenaga dari sembilan negara selatan Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin menegaskan komitmen mereka untuk menubuhkan hab tenaga bersih di Mediterranean dan mengurangkan risiko perubahan iklim, lapor Xinhua.
Para pegawai dari Cyprus, Slovenia, Malta, Croatia, Greece, Itali, Perancis, Portugal dan Sepanyol dalam satu kenyataan bersama selepas persidangan kedua MED9 di bandar Larnaca, Cyprus memaklumkan mereka sedang bekerjasama untuk melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan.
Dalam kenyataan itu, menteri-menteri MED9 menyeru Suruhanjaya Eropah untuk mengetuai kajian baharu mengenai potensi tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
“Kajian ini akan menyediakan asas kukuh bagi membuat keputusan dan tindakan kukuh ke arah mencapai visi bersama untuk masa depan tenaga yang lestari dan selamat di rantau Mediterranean,” menurut kenyataan itu.
Para menteri MED9 turut menyeru Suruhanjaya Eropah untuk bekerjasama dengan kumpulan itu dan memastikan komunikasi yang berkesan serta hubungan erat antara inisiatif tenaga MED9 dan Suruhanjaya berkenaan. -TVS.