Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kumpulan yang menyertai konvoi Kembara KASIH KPWKM 2024. Foto Febbright James (TVS).

Misi Kembara KASIH KPWKM di Sarawak tercapai, 12,000 penduduk terima manfaat

ByFebbright James

KEMBARA KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 yang berlangsung selama lapan hari bermula 14 hingga 21 September lepas di Sarawak telah memberi impak positif kepada masyarakat di setiap daerah yang dilalui oleh konvoi.

Kembara yang diketuai oleh menteri di KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri itu melalui lapan daerah iaitu Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang dan Lawas.

Nancy ketika berucap pada majlis penutup kembara itu di Taman Awam Lawas memaklumkan seramai 12,000 rakyat telah mendapat manfaat secara langsung daripada kembara tersebut.

Katanya, jumlah ini termasuk yang hadir dan menyertai aktiviti atau mendapatkan perkhidmatan yang disediakan melalui pelbagai kaunter yang dibuka di lokasi persinggahan dengan 27 aktiviti berjaya dilaksanakan.

Bas yang dijadikan sebagai kaunter Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak yang menyertai konvoi dari Kuching sehingga ke Lawas. Foto: Febbright James

“Program Saringan Kanser Serviks HPV DNA dan Ujian Mammogram yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya menarik lebih 530 individu untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan, kerana salah satu matlamat utama program kembara di Sarawak adalah untuk meningkatkan penyertaan, memandangkan jumlah peserta sebelum ini masih rendah.

“Kembara KASIH KPWKM ini juga melakar sejarah apabila Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak dan aplikasi my-PSSS yang pertama di Sarawak telah dilancarkan,” katanya.

Katanya, PSSS Bergerak dan my-PSSS dapat memanfaatkan lebih ramai masyarakat di Sarawak terutama di kawasan luar bandar terutama golongan wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan perkhidmatan sosial yang holistik di satu tempat dan menekankan kepada pendekatan whole of society dan whole of government.

Datuk Seri Nancy Shukri menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Yayasan Kebajikan Negara dan Bintulu Port Holdings Berhad bagi penubuhan Anjung Kasih di Hospital Bintulu. Foto: Febbright James

Ujar Nancy, menerusi kembara ini juga, penubuhan Anjung Kasih di Hospital Bintulu turut direalisasikan dengan termeterainya perjanjian antara Yayasan Kebajikan Negara dan Bintulu Port Holdings dengan nilai tajaan berjumlah RM1 juta.

Anjung Kasih Hospital Bintulu menjadi yang pertama di Sarawak mendapat tajaan sepenuhnya daripada pihak swasta.

Dalam pada itu, Kembara KASIH juga berkesempatan menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada klien-klien Jabatan Kebajikan Masyarakat( JKM) dan LPPKN yang berada di sekitar kawasan laluan konvoi.

Rombongan konvoi berkesempatan menziarahi Zanaida Zaini yang merupakan salah seorang penerima Bantuan Warga Emas (RM500) daripada JKM. Foto: Mohammad Raffiq

KPWKM turut menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada enam masjid yang menjadi lokasi persinggahan perserta konvoi untuk menunaikan solat.

Program lain yang turut diadakan sepanjang kembara termasuk Program Ramah Mesra KPWKM bersama pelatih Pusat Agape Sibu, Program Ramah Mesra KPWKM di Pusat Warga Emas (PAWE) di Song Kapit dan PAWE Limbang.

Penduduk mendapat manfaat

Sementara itu majoriti penduduk memaklumkan menerusi program-program yang dianjurkan sepanjang kembara memberikan mereka kesedaran dan maklumat terperinci mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh KPWKM menerusi agensi di bawahnya.

Aktiviti yang diadakan termasuk Program Wanita Dinamik yang berjaya memberi manfaat secara langsung kepada 1,000 wanita di Sarawak dengan pemberian bantuan secara one-off berjumlah RM500 seorang.

Datuk Seri nancy Shukri bersama-sama penerima bantuan kewangan RM500 di bawah Program Wanita DInamik di Bekenu. Foto: FebbrighT James

Seorang penerima bantuan Program Wanita Dinamik di Beluru, Rosiah Hasli, 52, yang merupakan seorang peniaga kuih muih kecil-kecilan berkata bantuan itu berupaya membantunya mengembangkan perniagaan.

“Saya dapat membeli perkakas untuk membuat kuih muih saya.

“Saya sangat berpuas hati dengan bantuan RM500 kerana dapat membantu keluarga sebab anak-anak masih melanjutkan pelajaran, dapatlah menampung keperluan keluarga,” katanya.

Sementara itu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memuji usaha KPWKM yang mewujudkan Program Wanita Dinamik yang disifatkan berbeza dengan program bantuan dan sokongan sebelum ini.

Katanya, kebanyakan program bantuan diberikan kepada perniagaan individua atau syarikat yang berdaftar namun berbeza dengan Program Wanita Dinamik yang memberikan kepada ketua isi rumah yang mahu menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah.

Program Outreach Advokasi Antigangguan
Seksual turut menjadi antara program yang diadakan di beberapa tempat persinggahan konvoi kembara. Foto: Febbright James.

Selain itu, program lain yang diadakan termasuk saringan kanser serviks HPV DNA dan ujian mammogram secara percuma oleh LPPKN.

Program ini berjaya menarik lebih daripada 530 individu untuk mendapatkan perkhidmatan ini sepanjang kembara dengan matlamat untuk meningkatkan penyertaan, memandangkan jumlah peserta sebelum ini masih rendah.

Juliana Jimbun, 35, merupakan salah seorang pengunjung Program Kasih Keluarga Ceria di Dewan Masyarakat Melayu Kapit berkata, program saringan kesihatan itu wajar dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada komuniti khususnya golongan wanita untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Suayah Mohamad Amin (kiri), Juliana Jimbun (tengah), Rosiah Hasli (kanan). Foto: Febbright James.

“Program ini sangat bagus diadakan diadakan khususnya di luar bandar bagi memastikan anak-anak dan ibu bapa memahami tentang anti gangguan seksual terutamanya melibatkan bahagaian yang boleh disentuh dan sebaliknya.

“Selain itu, program ini juga berupaya memberi kesedaran tentang kanser serviks untuk pengesanan dan pencegahan awal,” ujarnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Suayah Mohamad Amin meluahkan rasa syukur dengan kewujudan Klinik Nur Sejahtera yang merupakan inisiatif LPPKN kerana memberikan peluang kepadanya menjalani ujian mamogram.

Katanya, usaha itu membolehkan dirinya mengesan bahawa beliau menghidap kanser payudara dan kini sedang mendapatkan rawatan.

“Di Klinik Nur Sejahtera, mereka beri rawatan secara percuma. Saya menasihatkan wanita di luar sana agar turut membuat pemeriksaan seperti yang disarankan oleh doktor bagi mengesan awal sebarang penyakit,” katanya.

Program ‘outreach’ bantu masyarakat cakna inisiatif, bantuan KPWKM

Sementara itu, Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah memaklumkan program ‘outreach’ dan advokasi yang diadakan sepanjang Kembara KASIH berupaya membantu masyarakat memahami dan cakna akan inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh agensi di bawah KPWKM.

Katanya, program outreach mendapat sambutan baik penduduk setempat khususnya di kawasan pedalaman.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah. Foto: Febbright James

“Melalui program ini, pemimpin masyarakat dan ketua-ketua kaum dan pemancha dapat mengetahui program-program LPPKN selaku agensi di bawah KPWKM kerana sebelum ini agak terbatas untuk mereka pergi ke pejabat-pejabat kami yang hanya beroperasi di beberapa lokasi tertentu sahaja.

“Untuk kembara ini, kita bahagikan kepada tiga perkara iaitu kita bawakan perkhidmatan ke tempat mereka (komuniti setempat) di luar bandar dan kita keduanya kita adakan program advokasi tentang peranan LPPKN dan perkhidmatan yang ada.

“Ketiga, kita war-warkan inisiatif dan tawaran percuma yang diberikan oleh LPPKN secara percuma seperti ujian saringan mammogram DAN saringan ujian HPV DNA,” katanya.

Ujar beliau, masih terdapat golongan sasaran khususnya wanita masih belum tahu mengenai perkhidmatan yang disediakan LPPKN secara percuma kepada mereka.

Misalnya, menurut beliau masih ada golongan wanita yang belum menjalani saringan kanser serviks atau ujian HPV DNA.

“Saya menyantuni beberapa wanita di luar bandar dan mereka memaklumkan sepanjang hidup tidak pernah menjalani saringan kanser serviks sedangkan mereka mempunyai anak yang ramai.

“Jadi menerusi program kembara ini, kita berasa gembira kerana dapat memperkenalkan perkhidmatan yang kita ada kepada mereka,” katanya.

Kembara KASIH KPWKM ini disertai 40 buah kenderaan dan empat aset perkhidmatan bergerak.-TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan