BINTULU, 24 Sept: Seorang lelaki warganegara China maut selepas terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah pusat beli-belah yang terletak di Park City Commercial Center di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam kejadian jam 12.01 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala kerana terjatuh dari tempat yang tinggi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Bintulu yang tiba di tempat kejadian pada jam 12.35 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa dipercayai warganegara China berdasarkan penemuan pasport dan kad pengenalan kebangsaan negara China (ditulis dalam tulisan cina) dalam milikan mangsa.
“Mangsa telah dibawa ke bilik mayat Hospital Bintulu untuk tindakan seterusnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang menimbulkan kekeliruan,” ujarnya.
Katanya, siasatan awal pihak polis kęs dikategorikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh tampil dan menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Mohd Sani Junid di talian 019-5666500 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304. – TVS