Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Atlet berasal dari Bau itu berkata beliau sanggup berkorban dengan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga minggu bagi memberikan tumpuan penuh pada penampilan ketujuhnya di Para SUKMA. Foto: Bernama

Jennyla akhiri penantian 18 tahun emas pertama Para SUKMA

ByBernama

KUCHING, 24 Sept: Atlet Sarawak Jennyla Kueh menamatkan penantian selama 18 tahun merangkul pingat emas dalam acara rejam lembing wanita F55/F56/F57 (kecacatan fizikal) selepas melakukan catatan 11.81 meter (m) pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini.

Jennyla, 35, yang bekerja sebagai tukang jahit di Ampang, Selangor berkata selain gembira dengan kejayaan menyumbang pingat buat negeri tercinta, kemenangan itu juga mengubat hatinya yang terguris oleh pandangan sinis orang di sekeliling.

“Sejujurnya cakap-cakap belakang daripada orang sekeliling pernah buatkan saya sedih, bukan mudah untuk pegang dua peranan dalam satu masa, mengimbangi karier sebagai tukang jahit dan atlet. Ditambah pula status Orang Kurang Upaya (OKU) yang sukar dapat kerja.

“Sesekali terasa juga kerana kita manusia ada hati dan perasaan namun saya perlu kekal positif, bangkitkan diri sendiri sebelum orang lain bangkitkan kita, tak boleh harap orang beri semangat pada kita semata-mata,” katanya kepada Bernama di Stadium Sarawak.

Atlet berasal dari Bau itu berkata beliau sanggup berkorban dengan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga minggu bagi memberikan tumpuan penuh pada penampilan ketujuhnya di Para SUKMA.

Dilahirkan kudung kaki kiri, Jennyla berkata beliau juga berdepan kesukaran mendapat keizinan daripada majikan untuk menjalani latihan meskipun memiliki surat pelepasan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

“Mungkin mereka di luar sana perlu duduk di posisi saya dan rasa bagaimana hidup sebagai pekerja dan atlet. Ditambah pula dengan duduk berjauhan daripada keluarga dan perlu membuat semuanya sendiri tanpa bantuan orang,” katanya yang turut menyumbang perak dalam acara lempar cakera kelas sama semalam.

Sementara itu, beliau berharap dapat meneruskan momentum kejayaannya dalam acara lontar peluru wanita F55/F56/F57 (kecacatan fizikal) dijadual berlangsung esok.

Jennyla juga mendedikasikan pencapaian berkenaan kepada jurulatihnya Faridul Masri atas bantuan dan sokongan diberikan selama ini.

Pingat perak dimenangi atlet Perlis Feelzah Abdullah (10.96m) dan Siti Nurmala Brahim dari Sarawak meraih gangsa (8.52m). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan