KUCHING, 24 Sept: Tentera Israel mengesahkan menyerang berpuluh-puluh sasaran Hizbullah di beberapa kawasan di selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam yang lepas.
“Semalaman Israel Air Force IAF menyerang berpuluh-puluh sasaran Hizbullah di banyak kawasan di selatan Lubnan,” kata tentera dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa artileri dan kereta kebalnya mengenai “sasaran pengganas” tambahan di kawasan Ayta al- Shab dan Ramyeh.
“Isu serangan tentera Israel di selatan Lubnan secara besar-besaran dalam tempoh 24 jam ini ada kaitannya dengan apa yang berlaku di Gaza.”
Ia dilakukan pentadbiran Benjamin Netanyahu “kerana Netanyahu berjanji akan membawa pulang warganya di Israel utara yang terpaksa berpindah apabila berlaku pertelingkahan antara puak Hizbullah dan juga tentera Israel,” kata pakar geostrategis Dr. Azmi Hassan ketika dihubungi TVS.
Serangan yang mengorbankan hampir 500 orang itu jelasnya disokong Presiden Amerika Syarikat Joe Biden “tidak sampai 24 jam sebelum serangan itu berlaku presiden AS menyokong tindakan Netanyahu di selatan Lubnan,
“Israel kemudiannya telah mengarahkan semua penduduk yang menetap di utara Gaza beredar kerana kononnya mereka dikatakan akan menyerang habis-habisan kumpulan Hamas yang berada di sana,” katanya.
Gaza sebelum ini telah menyaksikan perpindahan penduduk awam supaya kemusnahan dapat dilakukan 100 peratus di utara Gaza “dan kawasan itu dijadikan penampan atau ‘buffer zone’ untuk dijadikan sebagai zon mati,
“Jadi apa taktiknya di Lubnan?”
“Sama juga di Lubnan, untuk membawa pulang penduduk Israel yang berpindah sebulan yang lepas zon mati di selatan Lubnan perlu diadakan seperti di utara Gaza.”
Jelasnya siri pengeboman di sempadan selatan Lubnan yang bersempadan dengan utara Israel bukanlah perkara baharu “bukan dalam tempoh 24 jam ini tetapi sejak 7 Oktober dan mereka ingin menjadikannya zon mati sebagai penampan supaya penduduk israel yang telah dipaksa berpindah dapat pulang dengan keadaan selamat,” katanya.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada Isnin menegaskan perang besar-besaran antara Hizbullah dengan Israel itu sengaja dimulakan oleh Netanyahu kerana mereka ingin menjadikan selatan Lubnan sebagai kawasan kawalan mereka. -TVS