KUCHING, 24 Sept: Impian Norhasfalinda Hamdan meraih pingat emas dalam sukan boling padang Para SUKMA 2024 menjadi kenyataan selepas berjaya menewaskan lawan dari Terengganu dengan mencatatkan rekod kemenangan 21-04.
Norhasfalinda yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, hasratnya untuk merangkul pingat emas ternyata membuahkan hasil.
“Ini merupakan para SUKMA yang kedua dan pingat emas pertama saya menang untuk sukan boling padang.
“Sebelum ini saya bermain bagi sukan olahraga dan mendapat pingat perak pada sukan Para SUKMA di Kuala Lumpur,” katanya kepada TVS hari ini selepas sesi penyampaian pingat kepada para pemenang di Arena Lawn Bowls di sini, hari ini.
Katanya lagi, ini merupakan rekod yang terbaik dihasilkannya dalam sukan boling padang dan akan melakukan yang lebih baik lagi dalam sukan para akan datang.
Manakala bagi kategori beregu terbuka-B6 yang menampilkan pasangan Nischal Nischolas Bujang dan Ahmad Bashirun Ismail, ini adalah kemenangan pertama mereka setelah tewas pada para SUKMA di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
Kata Ahmad Bashirun, dia tidak menyangka sama sekali akan meraih pingat emas pada para SUKMA kali ini kerana berdepan dengan cabaran yang sengit dari seluruh negeri.
“Saya tidak sangka akan dapat emas di tempat sendiri. Pada point yang last begitu mendebarkan dan menyukarkan saya untuk membuat keputusan sama ada untuk melepaskan bola atau tidak,” katanya.
Sementara itu, bagi Nischal Nischolas Bujang, dia sangat berterima masih kepada jurulatih dan ahli pasukan yang banyak membantu sepanjang latihan hingga dia mampu mendapat emas pertamanya dalam sukan boling padang ini.
“Sebelum ini saya tidak pernah mendapat apa-apa pingat dalam sukan tenpin boling, tetapi untuk sukan boling padang ini saya berjaya meraih emas pertama.
“Untuk sukan para yang seterusnya, saya akan buat yang terbaik lagi dalam sukan boling padang ini,” katanya. – TVS