KUCHING, 24 Sept: Donny Jaranding, seorang atlet paralimpik berpengalaman, berhasrat untuk bersara setelah berjaya meraih beberapa pingat emas sepanjang 18 tahun kariernya mewakili Sarawak dalam sukan olahraga dan renang di Para SUKMA.
Atlet berusia 44 tahun yang berasal dari Kapit ini telah menyumbang banyak kejayaan kepada kontinjen Bumi Kenyalang dan akan beraksi buat kali terakhir dalam sukan renang di pentas Para SUKMA tahun ini.
Sejak menyertai Para SUKMA pada 1998, Donny telah mengukir namanya dalam acara pecut 100 meter, 200 meter serta turut bertanding dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.
“Masa itu dalam olahraga, saya menyumbang empat pingat untuk Sarawak,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di sini, hari ini.
Donny yang kini bertanding dalam kategori masalah penglihatan, telah beralih kepada sukan renang sejak tahun 2017.
Beliau baru-baru ini meraih pingat emas pertama menerusi acara 100m gaya kuak lentang lelaki S13 dan acara 100m gaya bebas lelaki S13 pada Isnin.
Donny sekali lagi cemerlang selepas meraih pingat emas dalam acara 100 meter gaya kuak dada lelaki SB13.
“Bersyukur saya dapat memenangi tiga emas dalam dua hari berturut-turut. Ini merupakan penyertaan terakhir saya dalam Para SUKMA dan saya bertekad untuk memberikan yang terbaik,” ujarnya lagi.
Donny menyedari bahawa had umur untuk bertanding dalam acara ini ditetapkan kepada 45 tahun.
“Oleh kerana itu, saya ingin memanfaatkan kesempatan ini sebaik mungkin untuk meraih pingat dan menutup karier saya dengan penuh bangga,” jelasnya.
Donny juga mengimbau perjalanan awalnya bersama dua adik beradiknya, Stanley, 40, dan Julius, 38, yang juga atlet renang.
“Kami bermula sejak umur sembilan tahun dan terus berlatih hingga mewakili negara,” tambahnya.
Meskipun akan bersara, Donny mahu menyumbang dalam perkembangan sukan dengan membantu mencari bakat-bakat muda dalam sukan renang.
“Saya berharap untuk terus memberikan sumbangan kepada sukan ini, terutamanya dalam mencari bakat-bakat baru dalam kalangan atlet para renang,” katanya.
Dengan pengalamannya yang luas, Donny berhasrat untuk membantu melatih generasi akan datang dalam sukan renang dan memberi inspirasi kepada mereka.
“Saya ingin melihat lebih ramai atlet Sarawak bersinar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sarawak mempunyai banyak bakat, dan dengan bimbingan yang betul, mereka pasti mampu mencapai kejayaan yang lebih besar,” tegasnya. – TVS