Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohd Adib Iqbal Abdullah bersama pingat emas setelah mencatat rekod baru acara renang pada Para SUKMA Sarawak 2024 di Kuching, hari ini. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Atlet para renang Sarawak ukir sejarah, pecah rekod kebangsaan dan Para SUKMA

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 24 Sept: Hari kedua Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menyaksikan pencapaian luar biasa dengan memecah satu rekod kebangsaan dan dua rekod temasya dalam acara renang.

Di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Galang Jabai, 38, memecahkan rekod kebangsaan untuk acara 50 meter gaya bebas lelaki S7 dengan masa 34.59 saat, mengatasi rekod lama yang dipegang oleh Mohd Zambey Sapiee dari Sarawak dengan catatan 35.86 saat pada Para SUKMA 2010.

Selain itu, Rusdianto Rusmadi turut mencuri perhatian dengan kejayaan memecahkan rekod temasya bagi acara 100 meter gaya kuak lentang lelaki S7/S8, mencatat masa 1 minit 18.68 saat. Ini juga merupakan rekod baharu yang mengatasi rekod lamanya sendiri yang dicatatkan di SUKMA 2004 di Bukit Jalil dengan masa 1:25.35 saat.

Sementara itu, Mohd Adib Iqbal Abdullah turut membuat kejutan dengan memecahkan rekod temasya dalam acara 100m gaya kuak dada lelaki SB14 dengan masa 1 minit 11.44 saat, menewaskan rekod sebelumnya yang dipegang oleh Yoong Chung Wei dari Pulau Pinang (1 minit 16.89 saat) pada Para SUKMA 2018 di Perak.

Dengan pencapaian cemerlang ini, skuad para renang Sarawak berjaya menambah koleksi 10 pingat hari ini pada hari kedua temasya Para SUKMA 2024.

Kerja keras atlet ‘istimewa’ ini membolehkan kontinjen tuan rumah meraih lima pingat emas, dua perak, dan tiga gangsa pada hari ini.

Galang muncul sebagai wira skuad para renang dengan menyumbang dua pingat emas dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki (S7) dan 50 meter gaya bebas lelaki (S7).

Beliau diikuti oleh Mohd Adib Iqbal Abdullah (100 meter gaya kuak dada lelaki SB14), Donny Jaranding (100 meter gaya kuak dada lelaki SB13), dan Rusdianto Rusmadi (100 meter gaya kuak dada lelaki S7/S8) yang masing-masing membawa pulang pingat emas.

Sementara itu, pingat perak diraih oleh Julius Jaranding dan Sereen Lulong Jawi dalam acara 100m gaya kuak dada lelaki SB12 dan 100m gaya kuak dada wanita S14.

Tidak kurang hebat, skuad para renang Sarawak juga memperoleh tiga pingat gangsa menerusi Hasroy Abu Bakar (200 meter gaya bebas lelaki), Stanley Jaranding (100 meter gaya kuak dada lelaki SB12), dan Mully Adriano (50 meter gaya bebas lelaki S9). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan