KUCHING, 24 Sept: Atlet Sarawak, Bryan Junency Gustin berjaya memecah rekod Para SUKMA dan rekod kebangsaan hari ini, sekali gus membawa pulang dua pingat emas bagi acara powerlifting untuk Sarawak di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak hari ini.
Dua pingat emas itu diraih melalui acara angkat berat 88 kilogram untuk kategori angkatan terbaik serta jumlah angkatan.
Pada angkatan pertama, Bryan melakukan angkatan 180 kilogram disusuli dengan angkatan kedua iaitu seberat 185 kilogram sebelum memecahkan rekod para SUKMA dan kebangsaan seberat 191 kilogram.
Bryan mencatatkan rekod baharu selepas gagal dalam percubaan keempat bagi angkatan seberat 201 kg.
“Pada permulaan untuk angkatan pertama, saya sangat gementar, angkatan kedua dan ketiga sudah mula merasa yakin, namun untuk angkatan keempat saya ada telanggar besi sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Pingat Para Powerlifting di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak hari ini.
Abang kepada Bonnie Bunyau, pemenang pingat emas Para Olimpik Paris 2024 itu berkata, beliau turut berbangga dengan kejayaan adiknya dan mahu mengikut langkahnya. -TVS