KUCHING, 24 Sept: Sebanyak 78 kontinjen membabitkan seramai 3,100 peserta akan menyertai perarakan sempena Hari Kelahiran ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 12 Oktober depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perarakan tersebut merupakan acara utama daripada tujuh acara yang akan bermula dari 10 hingga 13 Oktober depan di Bandaraya Kuching.
Katanya, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri juga akan diadakan pada hari yang sama setelah perarakan selesai.
“Pada 13 Oktober akan diadakan Majlis Jamuan Teh yang akan dihadiri asnaf, anak-anak yatim dan sebagainya akan juga dijemput bersama dan pada masa sama Tun Wan Junaidi akan menyampaikan sumbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Antara acara menarik yang akan berlangsung termasuk majlis kesyukuran, khutbah khas, majlis kesyukuran agama-agama lain, istiadat perbarisan dan rapat raksasa, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri, majlis jamuan negeri serta majlis jamuah teh.
Sambutan tersebut merupakan sambutan perayaan hari lahir rasmi pertama Yang di-Pertuan Negeri, Tun Wan Junaidi selepas dilantik menggalas tanggungjawab itu bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028, bagi tempoh empat tahun. – TVS