KUCHING, 23 Sept: Penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang beroperasi secara rasmi pada tahun lepas merupakan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UKKM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan berkata universiti berkenaan kini menawarkan lima program pengajian iaitu Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Ijazah Sarjana Muda (Keusahawan Koperasi) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Koperasi).
Kata beliau UKKMÂ kian mengorak langkah sebagai institusi pengajian tinggi pertama negara menerajui bidang pengajian koperasi.
“Visi UKKM adalah untuk berada di dalam gerakan pembangunan koperasi negara serta meraikan segmen pendidikan negara.
“Selain itu, UKKM dilihat sebagai satu platform yang menyantuni hampir 7.2 juta ahli koperasi terutama dalam menyediakan ruang pembelajaran menerusi pelbagai kursus yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak di sini hari ini.
Sebelum ini ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2020, Tun Wan Junaidi memaklumkan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan dinaik taraf kepada universiti sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu Rosli memberitahu, tujuan utama kunjungan hormat Ahli Lembaga Pengarah UKKM bertemu Tun Wan Junaidi bertujuan untuk berkongsi aspirasi dan hala tuju terkini Universiti itu dalam meningkatkan taraf sektor koperasi mengikut arus pembangunan serta trend semasa. -TVS.