KUCHING, 23 Sept: Perenang Sarawak Donny Jaranding menyumbang pingat emas pertama Sarawak dalam renang selepas memenangi acara 100m gaya bebas lelaki S13.
Pingat perak dan gangsa masing-masing diraih perenang Kedah, Muhammad Haziq Abdul Halim serta Muhammad Amin Zakari.
Dua adik Donny, Julius dan Stanley meraih pingat perak serta gangsa dalam acara 100m gaya bebas lelaki S12.
Menurut Donny, beliau berbangga kerana menyumbang pingat emas pertama untuk Sarawak.
“Ini adalah kejohanan terakhir saya. Terima kasih kepada jurulatih, ahli keluarga dan rakan yang memberi sokongan kepada kami tiga beradik selama ini,” katanya.
Donny berkata, pingat emas yang diraih merupakan kebanggaan,
“Saya tidak menjangka mampu meraih pingat emas. Kami adik-beradik akan terus buat yang terbaik untuk Sarawak,” ujarnya.-TVS