KUCHING, 23 Sept: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli menganggap Sukan Malaysia (SUKMA) sebagai platform penting membangunkan bakat atlet muda negara.
Beliau berkata, ia turut menjadi medan mencari bakat baharu yang berpotensi mewakili negara pada kejohanan peringkat antarabangsa.
“Kalau kita lihat atlet yang mewakili negara datang daripada SUKMA. Para SUKMA juga begitu, atlet para kita antara yang terbaik di dunia.
“Apa yang penting, kita perlu memastikan ada kesinambungan dalam sukan,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Sementara itu, Adam turut memuji penganjuran temasya kali ini kerana mendapat sambutan amat menggalakkan daripada setiap lapisan masyarakat.
“Secara keseluruhan saya melihat penganjuran SUKMA sangat baik, teratur dan meriah. Walaupun SUKMA sudah tamat, kini diteruskan dengan Para SUKMA.
“Sambutan daripada warga tempatan nampak menggalakkan,” ujarnya.
Para SUKMA XXI menyaksikan sebanyak 15 kontinjen mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan.-TVS