KUCHING, 23 Sept: Perenang Sabah, Abdul Halim Mohammad cemerlang meraih pingat emas pertama selepas menewaskan empat pesaingnya dalam acara renang 400 meter gaya bebas lelaki S8/S9 pada sukan Para SUKMA XXI yang berlangsung di Pusat Akustik Pandelela Rinong hari ini.
Abdul Halim mencatat masa 5:21.99 saat bagi acara itu, tempat kedua dimenangi wakil dari Sarawak, Rusdianto Rusmadi dengan masa 5:24.27 saat bagi memenangi pingat perak dan pingat gangsa dimenangi perenang Penang, Firdaus Fardaus Noordin dengan catatan masa 5:54.24 saat.
Sementara itu, perenang Kuala Lumpur Asyiil Raziin Razman berjaya memecah rekod Para SUKMA lalu selepas mencatat masa terpantas 1:23.35 saat bagi memenangi pingat acara 100 meter gaya bebas wanita S14.
Pingat perak dimenangi perenang Negeri Sembilan, Aleeya Fariesya Binta Faizul Rizal(1:23.41 saat) dan ketiga perenang Selangor, Ainun Hanifah Yulizarina Affendi (1:23:46 saat). -TVS