BINTULU, 23 Sept: Pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini amat penting bagi melindungi pelbagai aspek termasuk keselamatan dan kegiatan ekonomi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyambut rancangan itu berkata, Bintulu mempunyai banyak aset pelaburan yang perlu dilindungi.
“Terima kasih Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Pertahanan kerana bersetuju untuk membina pangkalan tentera laut di sini.
“Terima kasih juga kerana bekerjasama dengan kami dan melindungi kawasan lain di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bintulu Port Supply Base, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata pembinaan MAWILLA 4 akan dimulakan apabila proses pembayaran premium tanah kepada kerajaan Sarawak selesai tidak lama lagi.
Beliau berkata, Abang Johari bersetuju MAWILLA 4 dibina di satu kawasan di Samalaju bagi membolehkan TLDM mewujudkan pangkalan yang berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan.