TAIPING, 23 Sept: Polis mengesahkan seorang pekerja sebuah pam minyak di sini yang gambarnya dalam keadaan meniarap berlumuran darah yang tular di media sosial bukan mangsa tembak seperti didakwa.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya mengesan gambar yang membabitkan pekerja wanita itu di media sosial kelmarin.
Katanya, pada gambar berkenaan turut ditinggalkan komen, ‘tukang pump (pam) minyak pun kena tembak mati lepas kena ragut’.
“Berdasarkan penularan gambar itu, siasatan polis mendapati (melibatkan) seorang pekerja di sebuah pam minyak di Batu 2 1/2, Simpang, Perak.
“Pekerja itu telah pengsan dan jatuh akibat masalah kesihatan sehingga kepalanya terhentak ke lantai dan berdarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mohamad Nasir lagi, pada hari sama wanita itu juga telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Justeru kita menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat keharmonian masyarakat.
“Penyebaran maklumat tidak benar dan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi. – TVS