KUCHING, 23 Sept: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pendekatan inovatif dengan menggunakan sistem papan catur DGT elektronik atau e-Boards untuk acara catur pada Para SUKMA XXI kali ini.
Timbalan menterinya, Adam Adli berkata, ini merupakan kali pertama sistem tersebut diguna pakai untuk temasya dwitahunan itu.
Menurutnya, pendekatan tersebut dilihat mampu meningkatkan kualiti penganjuran pertandingan catur di negara ini.
“Kalau tidak silap saya, ini kali pertama penganjuran pertandingan catur menggunakan ini yang mana penonton boleh melihat secara langsung dari mana sahaja mereka berada.
“Ia merupakan inovasi yang bagus untuk menaikkan kualiti penganjuran pertandingan catur di peringkat SUKMA dan Para SUKMA,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Menurutnya, penganjuran catur kali ini turut menjadi medan meneroka potensi pemainan tersebut untuk dipertingkatkan pada masa akan datang.
“Saya dapat melihat perlawanan antara negeri menampilkan persaingan sengit,” ujarnya.
Sementara itu, Raia Hotel menjadi venue acara catur Para SUKMA XXI dari 23 hingga 27 September.-TVS