KUCHING, 23 Sept: Negeri Sembilan menetapkan sasaran tiga pingat emas bagi acara boling padang Para SUKMA XXI.
Ketua jurulatihnya, Kassim Idris berkata, pada edisi lepas, pasukan pimpinannya muncul sebagai juara keseluruhan bagi acara tersebut.

“Untuk edisi lalu, kita berjaya meraih dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa, jadi kali ini sasaran kita meraih tiga pingat emas.
“Saya berharap pemain dapat meneruskan momentum bagi meraih keputusan lebih baik,” katanya kepada TVS hari ini.
Bagi Norazian Daud, ini merupakan Para SUKMA ketiga disertainya dan tidak menyangka mampu meraih keputusan terbaik.
“Saya memang tidak sangka, mungkin rezeki berpihak kepada kami kerana dapat menewaskan lawan dengan pungutan mata yang banyak.
“Kami berharap dappat menyumbang emas kali ini,” ujarnya.
Pasangan Norazian, Mohd Adlan Abu Talib berkata, perasaan gemuruh tetap ada walaupun ini merupakan penyertaan kedua dalam Para SUKMA.
“Jika lihat kepada permainan setakat ini, saya memang agak gemuruh tetapi rezeki memihak kepada kami berdua untuk menang,” jelasnya.-TVS