KUALA LUMPUR, 23 Sept: Majlis Kraf Sarawak bakal menganjurkan Borneo Craft Global Expo & Conference 2024 (BCG2024) pada 27 November hingga 1 Disember 2024 di Waterfront, Kuching.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, BCG2024 merupakan acara tempatan Sarawak yang menjangkakan kehadiran seramai 50,000 pengunjung ekspo.
Selain itu kata beliau acara berkenaan juga akan disertai 300 delegasi persidangan dengan barisan penceramah terkemuka antarabangsa dan tempatan serta 300 peserta pameran melibatkan gabungan kraf, makanan dan minuman.
“Sarawak mengalu-alukan kehadiran wakil kedutaan negara asing di Kuala Lumpur pada taklimat produk Ekspo dan Persidangan Global BorneoCraft 2024 hari ini.
“BCG2024 juga boleh dipromosikan seperti Rainforest Music World Festival oleh kerana merupakan platform kepada penggiat seni kraf tangan tempatan dalam mempamerkan produk, bertukar pengetahuan serta kemahiran dengan penggiat seni kraf tangan antarabangsa sambil meneroka peluang kerjasama dalam jangka masa panjang,” katanya pada sidang media acara itu.
Sementara itu Pengurus Majlis Kraf Sarawak Suriya Charles Buas berkata, BCG 2024 juga mahu menarik pengunjung terutamanya pemain sektor kraf dan gastronomi negara – negara di Amerika Latin, Iran dan Zambia.
“Wakil-wakil kedutaan Thailand, Vietnam dan Filipina juga teruja dan menyatakan hasrat untuk menyertai acara tempatan ini.
“Salah satu sub acara iaitu Persidangan dan Kelas Induk pula yang bakal dikendalikan oleh penceramah dari Uzbekistan, Indonesia, Taiwan, Thailand, Perancis serta Malaysia,”katanya.
Kurator BCG2024 Gracie Geikie pula berkata acara berkenaan juga mahu mengumpulkan lebih 1,000 pembuat manik untuk percubaan mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records bagi perhimpunan terbesar pembuat manik yang membuat kraf manik pada 1 Disember.
Acara lain yang akan turut diadakan termasuklah memperkenalkan versi kraf Cabaran MasterChef yang terbuka kepada rakyat Sarawak.
Percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records itu pula dibuka kepada orang awam dan pendaftaran bagi semua aktiviti boleh didapati di laman web rasmi, www.borneocraftglobal.com.
BCG2024 kali ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Bussines Events Sarawak (BESarawak). – TVS