BINTULU, 23 Sept: ‘Bunker’ metanol dan amonia dirancang untuk diwujudkan di Bintulu bagi membekalkan bahan bakar untuk kapal sesuai dengan perkembangan semasa sektor perkapalan dunia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rancangan ini adalah sesuai dengan Bintulu yang merupakan pengeluar metanol dan akan menjadi pengeluar amonia hijau.
“Maknanya perkhidmatan ‘bunkering’ akan diwujudkan di kawasan ini (Bintulu). Kita akan memberi khidmat kepada kapal-kapal yang belayar dari Eropah menerusi Selat Melaka ke Timur Jauh seperti Korea, Jepun dan China,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Bintulu Port Supply Base, di sini, hari ini.
Sejajar dengan rancangan itu, Abang Johari berkata, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada pakar yang berpengalaman.
“Kita hendaklah melihat semula pembangunan kita di sini dan kita akan meminta nasihat sarjana yang mempunyai pengalaman dalam mewujudkan pelabuhan yang besar seperti di Singapura.
“Mereka akan membuat perancangan untuk kita membangunkan fasa kedua Bintulu Samalaju Port di bawah Bintulu Port Holdings ini yakni akan memberi kesan positif kepada masyarakat setempat,” katanya. – TVS