SIBU,23 Sept: Kebakaran besar yang memusnahkan 15 buah rumah di Kampung Hilir di sini, petang semalam tidak mengakibatkan kemalangan jiwa seperti yang ditularkan di media sosial.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie, berkata pemeriksaan terperinci telah dilakukan oleh pasukannya dan mendapati kesemua mangsa selamat malah tidak ada yang mengalami kecederaan.
“Maklumat juga menunjukkan tidak ada mangsa yang terperangkap atau meninggal dunia dalam kebakaran,”katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Sehubungan itu jelas Andy laporan menerusi media sosial yang menyatakan terdapat seorang kanak-kanak berusia 4 tahun gagal diselamatkan tidak benar.
Andy memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.43 petang dan pasukan keluaran operasi tiba di lokasi kira – kira dua minit kemudian.
“Sebanyak tiga pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya dengan kekuatan 25 anggota terlibat dalam usaha memadam kebakaran.
“Bomba sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.
Kebakaran mengakibatkan seramai 156 penghuni melibatkan 17 ketua isi rumah (KIR) di Kampung Hilir Sibu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah.
Sebahagian mangsa kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Darul Ma’wa, Kampung Baharu. -TVS.