MIRI, 23 Sept: Anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang kini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Batu 4 Kuala Baram di sini, semalam, terpaksa menjalani ujian Bomba Life Support (BLS) di lokasi kejadian hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong Henry Jugah berkata, ujian yang dijalankan selama 30 minit mulai jam 9 pagi itu menggunakan pautan google drive.
“Ujian objektif program BLS ini dilaksanakan bagi semua balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak.
“Anggota bomba dan pegawai BBP Lutong terpaksa menjalani ujian ini di lokasi SAR. Namun ini tidak mematahkan semangat mereka demi tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selepas menamatkan ujian itu anggota dan pegawai BBP Lutong meneruskan operasi SAR seorang lelaki Minggu Ikum, 59, yang dikhuatiri dibaham buaya ketika memeriksa pukat yang dipasang di Sungai Batu 4 Kuala Baram pagi semalam.
“Operasi SAR pagi ini dijalankan dua pasukan dengan keluasan dua kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) untuk mencari mangsa menggunakan perahu dan di sepanjang tebing sungai ke hulu dan ke hilir kawasan berkenaan,” ujarnya.
“Selain pihak bomba turut serta dalam operasi SAR itu ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, mangsa, Minggu Ikum, 59, keluar memeriksa pukat seorang diri di sungai berkenaan jam 7.30 pagi.-TVS