BINTULU, 23 Sept:Â Borneo Oil and Gas Supply Base (BOG) bakal menjadikan Bintulu sebagai pangkalan utama bagi bekalan keperluan untuk industri minyak dan gas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pangkalan itu juga merupakan satu trajektori bagi pengurusan pelabuhan di Bintulu.
“Ini akan menjadi tempat untuk kita membekalkan keperluan bagi industri minyak dan gas. Sebelum ini terdapat satu kawasan di pulau Borneo iaitu di Labuan yang menghantar barangan yang dikehendaki oleh minyak dan gas,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Bintulu Port Supply Base, di sini, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberi lesen kepada Bintulu Port Holdings ini untuk mewujudkan satu pangkalan bekalan, BOG.
Abang Johari berkata, Bintulu juga akan menjadi satu hab penting bukan sahaja dari sudut kegiatan minyak dan gas tetapi juga sebagai lokasi penting dalam hiliran petrokimia.
“Kita ada dua projek besar di sini dan juga Lang Lebah yang menjadi satu-satunya perusahaan industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Malah sekarang kita sudah ada methanol, seterusnya ialah untuk kita menjadikan ammonia atau ‘cracking of ammonia’ hingga menjadi baja. Ini adalah aktiviti hiliran yang akan berlaku di Bintulu,” katanya lagi. – TVS