KUCHING, 23 Sept: Setiap lapisan masyarakat termasuk golongan belia perlu memainkan peranan masing-masing untuk mempromosikan usaha kelestarian.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, belia perlu melibatkan diri secara aktif dalam usaha berkenaan melalui pemuliharaan alam sekitar, keusahawanan mampan serta kesedaran masyarakat dalam memastikan kejayaan matlamat berkenaan.
“Belia boleh memimpin dalam advokasi dan pendidikan dengan mempromosikan usaha kelestarian dalam bahasa ibunda untuk mencapai kepelbagaian masyarakat termasuk di kawasan luar bandar.
“Dengan menggunakan platform seperti media sosial, mereka boleh mencipta kandungan yang menarik seperti video, blog atau maklumat grafik untuk meningkatkan kesedaran tentang kehidupan mampan.
“Selain itu, menganjurkan bengkel komuniti, program pendidikan rakan sebaya serta acara tempatan seperti pembersihan pantai atau kempen menanam pokok juga dapat menyebarkan lagi ilmu dan memberi inspirasi kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Junior Chamber International (JCI) Malaysia Sustainable Development di sini.
Hanifah Hajar pada masa sama turut menekankan bahawa pembangunan mampan bukan sekadar sebuah matlamat tetapi merupakan satu keperluan untuk memastikan generasi masa kini dan masa hadapan dapat menikmati dunia yang berkembang maju.
“Ia adalah mengenai mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Keseimbangan ini merupakan asas kepada kemakmuran dan daya tahan jangka panjang negara kita.
“Kementerian Ekonomi sebagai peneraju utama akan bekerjasama dengan Kementerian lain dalam memastikan masa depan yang mampan menerusi usaha kolektif bagi menghidupkan visi ini,” ujarnya lanjut.
Tambahnya dengan adanya kerjasama hebat antara pihak-pihak berkaitan, perkara tersebut dapat direalisasikan.
Pada majlis makan malam tersebut, JCI Malaysia telah meraikan serta mengiktiraf sumbangan luar biasa individu dan organisasi yang didedikasikan untuk memajukan kelestarian di Malaysia. – TVS