BINTULU, 23 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengadakan lawatan kerja ke Raw Energy Sdn Bhd iaitu peneraju pembuatan pelet biojisim yang beroperasi di Bintulu.
Raw Energy menerusi kenyataan memaklumkan bahawa Sarawak kini merupakan pengeluar dan pengeksport pelet biojisim rumput berskala besar pertama di dunia.
“Pelet rumput tropika hibrid (HTG) yang dihasilkan oleh Raw Energy menawarkan alternatif karbon negatif kepada pelet arang batu dan kayu, dengan kecekapan penggunaan tanah lebih sepuluh kali ganda,” kata kenyataan yang diedarkan sempena lawatan kerja itu.
Kitaran karbon pelet HTG itu juga hanya mengambil beberapa hari dan mempunyai 15 peratus lebih kandungan tenaga, menjadikannya pilihan ideal untuk tenaga bersih.
Metodologi pertanian dan pengeluaran termaju membolehkan pelet ini digunakan secara langsung di stesen janakuasa, menyokong usaha global untuk penyahkarbonan.
Sebelum ke Raw Energy, Abang Johari juga sempat meluangkan masa mengadakan lawatan di tapak penternakan alga Bintulu.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. – TVS