KUCHING, 22 Sept: Kejayaan Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris baru-baru ini terus mendapat pengiktirafan.
Kali ini, Kerajaan Sarawak menghadiahkan RM500,000 kepada jaguh powelifting negara itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bonnie merupakan suri teladan yang harus dicontohi atlet muda.
“Kita berharap ia menjadi dorongan kepada atlet muda Para SUKMA untuk berlatih lebih gigih supaya mendapat kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Para SUKMA ke-21 Sarawak, di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.
Menurutnya, Sarawak sentiasa memastikan pembangunan sukan atlet orang kelainan upaya (OKU) berterusan.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak menghantar atlet Para SUKMA ke luar negara untuk berlatih sebagai persediaan menghadapi temasya ini.
“Pembangunan ini akan kita teruskan untuk melatih mereka yang berpotensi.
“Ingin saya nyatakan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan sukan yang mana pada SUKMA lepas kita bekerja keras memastikan semua kemudahan disediakan dnegan baik,” ujarnya.
Pada masa sama, Abang Johari percaya Para SUKMA menjadi platform membangunkan diri atlet untuk mencapai kejayaan besar dalam kehidupan.-TVS