KUCHING, 22 Sept: Cadangan peruntukan khusus untuk program sukan orang kelainan upaya (OKU) akan dimasukkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, perkara tersebut sudah dibincangkan dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Sebagai perancangan strategik untuk tahun hadapan, saya berjumpa dengan Menteri Kewangan II untuk cadangan Belanjawan 2025, saya cuba minta peruntukan khusus program pembangunan sukan OKU seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Para SUKMA ke-21 Sarawak, di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.
Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan dan prospek kerjaya atlet.
Menurutnya, atlet negara di bawah program podium akan menikmati kenaikan gaji dan dilindungi menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Bagi tujuan perlindungan sosial atlet, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus melihat kepada penambahbaikan melibatkan prospek kerjaya dan pendidikan,” katanya.
Sebelum ini, Hannah memaklumkan Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan memberi penekanan kepada kebajikan dan kesejahteraan atlet di bawah program MSN. – TVS