KOTA SAMARAHAN, 22 Sept: Seorang anggota polis yang tidak hadir bertugas sejak Mac lalu diberkas kerana manyamar sebagai pegawai kanan polis di hadapan sebuah bangunan kedai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin berkata, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang membuat rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza bersama dua orang lelaki di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa pemeriksaan dibuat seorang lelaki telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan memakai vest polis berpangkat inspektor dan terdapat sarung pistol di pinggang lelaki tersebut.
“Selepas disoal lanjut, lelaki tersebut mengatakan bekerja di Unit Cawangan Khas Bukit Aman dan sedang membuat tugas risikan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, apabila diminta kad kuasa polis untuk mengesahkan identitinya lelaki tersebut memberitahu tertinggal di rumah dan hanya memberi kad pengenalan awam.
“Setelah disemak kad pengenalan awam tersebut tertera nombor polis RF. Atas bantuan empat orang anggota Balai Polis Kota Samarahan yang ke lokasi, hasil pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut mengaku bertugas sebagai pegawai rendah polis sedang bercuti selama dua minggu.
“Ketika dihubungi balai polis tempat anggota tersebut bertugas dimaklumkan dia tidak hadir bertugas dari bulan Mac 2024 sehingga sekarang,” katanya.
Katanya, hasil semakan terhadap kenderaan jenis Perodua Bezza yang digunakan didapati tiada dilaporkan hilang.
“Anggota tersebut bersama seorang rakan serta barang-barang rampasan dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – TVS