MIRI, 22 Sept: KV Miri City FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 20 Tahun Bahagian Miri selepas mengalahkan Kotaras City FC 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir.
Perlawanan yang berlangsung di Kelab Rekreasi Petroliam Lutong itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan.
Kejayaan tersebut menyaksikan KV Miri City FC muncul sebagai kuasa baharu bola sepak kategori bawah 20 tahun.
Pasukan bimbingan Mohamad Hakimi Man itu membawa pulang wang tunai RM1,500 selaku juara.
Kotaras City FC yang tewas menerima wang tunai RM1,000 selaku naib juara.
LB Comrades dan Playmaker Academy yang tewas di separuh akhhir masing-masing memperoleh wang tunai RM500.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.
Kejohanan dari 20 hingga 22 September itu menghimpunkan lima pasukan iaitu NFDP, Kotaras City FC, Playmaker Academy, KV Miri City FC dan LB Comrades.
Dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri, kejohanan tersebut menjadi medan persiapan menjelang kejohanan belia akan datang.-TVS