MIRI, 22 Sept: Kerajaan yang tepat akan dapat menjamin pembangunan yang berterusan, kata Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, kerajaan yang tepat juga akan dapat melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk manfaat rakyat.
Tambah Dr. Sim perkara itu sedang dilaksanakan di Sarawak.
“(Sebenarnya) kita sangat bertuah kerana bermula (pada era pentadbiran) Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 2016, beliau memberitahu kalau awak pilih saya, beri (masa) lima atau empat tahun saya akan tubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNFOR).
“ (Pada masa sekarang) kita juga sangat bertuah kerana Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan inisiatif tersebut dan sehingga tahun ini, pembiayaan untuk UNIFOR (mencecah) RM500 juta dibelanjakan sejak 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Baru Batu Niah Buddhist Society, di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan melalui UNIFOR telah memperuntukkan sebanyak RM700,000 untuk projek tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus. – TVS.