KUCHING, 22 Sept: Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 anjuran Jabatan Hutan Sarawak berjaya merekodkan hasil jualan lebih RM360,000 bagi produk hasil hutan bukan kayu (NTFP).
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, karnival yang bermula sejak 14 September lalu juga berjaya memperkenal serta memperkasakan produk NTFP kepada masyarakat tempatan dan luar negara.
Hamden berkata, pihaknya teruja apabila mendapat maklum balas positif daripada 100 peserta komuniti pengusaha NTFP yang terlibat dalam karnival tersebut.
“Jabatan Hutan Sarawak beriltizam untuk terus komited dan berusaha menambah baik komponen-komponen melibatkan industri NTFP antaranya termasuklah latihan berterusan kepada komuniti serta kaedah promosi dan pemasaran yang lebih efektif.
“Untuk makluman semua, sehingga jam 1 petang pada hari terakhir Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024, kita telah berjaya merekodkan hasil jualan berjumlah RM364,537.80,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan), Happysupina Sait pada majlis penutup karnival itu di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pengarah Hutan merangkap Ketua Bahagian Perhutanan Sosial, Suliman Jamahari.
Pada penganjuran tahun akan datang tambahnya jabatan itu berharap angka jualan mampu mencecah RM1 juta.

Untuk rekod, komuniti yang terlibat dalam penghasilan produk NTFP merupakan komuniti yang menetap di sekitar Hutan Simpan Kekal di seluruh Sarawak.
Antara produk yang dijual pada karnival berkenaan termasuklah kraf tangan berasaskan buluh serta rotan seperti bakul, beg tangan dan tikar selain produk makanan seperti gula apong dan tebaloi.- TVS.