BERLIN, 22 Sept: Harry Kane berkata Bayern Munich tidak akan berhenti dengan mentaliti memburu gol selepas penyerang itu menjadi pemain Inggeris dengan jaringan terbanyak dalam sejarah Bundesliga, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bayern Munich membelasah Werder Bremen 5-0 di tempat lawan pada Sabtu untuk kekal di puncak liga dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan.
Pasukan bimbingan Vincent Kompany itu telah menjaringkan 20 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan dan hujung minggu depan, mereka akan menerima kunjungan Bayer Leverkusen, yang menjuarai liga musim lalu buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.
Kane menjaringkan gol ketiga Bayern di Bremen, mengatasi rekod Jadon Sancho yang menjaringkan 40 gol liga untuk Borussia Dortmund.
“Ia adalah minggu yang hebat. Tahniah kepada rakan sepasukan atas sikap dan mentaliti yang betul,” kata Kane kepada wartawan.
“Cara kami bermain tanpa penguasaan bola adalah gaya permainan yang ingin kami tonjolkan dalam perlawanan akan datang juga. Anda boleh lihat kami terus menekan, walaupun selepas gol kedua dan ketiga. Kami adalah Bayern Munich.”
Oktoberfest telah pun bermula di ibu negara Bavaria dan Kane mahu suasana perayaan itu diteruskan dalam bola sepak ketika gaya atletik dan tekanan tinggi pasukan Kompany melemahkan lawan mereka.
“Ia pasti akan menjadi perlawanan yang berbeza menentang Leverkusen. Mereka membuktikan musim lepas betapa kuatnya mereka. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” tambah Kane.
“Kami perlu menunjukkan mentaliti dan keinginan untuk berjaya yang sama seperti yang kami tunjukkan di sini dan dalam perlawanan sebelum ini. Kami bermain di tempat sendiri, bulan Oktober, dan ia akan menjadi perlawanan yang hebat.” -TVS