KUCHING, 22 Sept: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan meletakkan lebih ramai warden trafiknya di lokasi yang berlaku kesesakan teruk ketika waktu puncak di kawasan pentadbirannya.
Datuk Bandarnya, Hilmi Othman berkata, langkah itu sebagai langkah jangka pendek pihaknya menangani masalah kesesakan lalu lintas termasuk di Bulatan Abang Kipali Abang Akib menghala ke pusat bandar.
“Langkah ini telah kita buat apabila kita meningkatkan jumlah warden di jalan berkenaan dan itu yang dapat kita dijalankan untuk jangka masa pendek.
“Justeru pihak DBKU akan menambah jumlah warden yang bertugas dan harapan kita dengan pertambahan jumlah warden ini kesesakan masa puncak itu dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sukan amal AeroBIG Day Sarawak 2024 di sini pada Ahad.
Tambah Hilmi, satu kajian telah dilakukan bagi mengenal pasti alternatif lain untuk menangani masalah kesesakan yang berlaku di jalan-jalan berkenaan ketika waktu puncak.
Katanya, ketika ini kaedah pembesaran jalan di kawasan itu bukan satu pilihan memandangkan kawasan tersebut tidak memiliki ruang kawasan mencukupi bagi tujuan berkenaan.
Justeru tegas beliau, tindakan menambah jumlah warden trafik bertugas menjadi antara pilihan pihak DBKU untuk menangani masalah berkenaan. – TVS