KUALA LUMPUR, 22 Sept: Trio boling lelaki Malaysia mengekalkan aksi cemerlang pada Kejohanan Boling Asia Ke-27 di Bangkok, Thailand apabila meraih pingat emas acara itu semalam yang juga merupakan emas ketiga mereka setakat ini.
Gandingan Syafiq Ridwan Abd Malek, Hafiz Zainuddin dan Rafiq Ismail membuat kebangkitan hebat pada blok kedua di Pusat Boling Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin dengan menjatuhkan keseluruhan 3,961 pin.
Selepas blok pertama pada Jumaat, mereka ketinggalan di tempat keenam.
Pingat perak diraih Korea Selatan dengan catatan 3,814 pin manakala gangsa milik Hong Kong.
Satu lagi trio negara yang dibarisi Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, Syaqeem Izwan Teh Sharul Hafiz Teh dan Tun Amirul Hakim menamatkan cabaran pada kedudukan kelapan.
Sementara itu trio wanita negara yang dibarisi Natasha Roslan, Gillian Lim dan Sin Lin Jane terpaksa akur dengan pingat perak selepas dipintas pada permainan terakhir oleh Singapura.
Gangsa dimenangi oleh Korea Selatan.
Setakat ini Malaysia mengungguli kedudukan pingat dengan empat emas, dua perak dan dua gangsa.
Kejohanan bersambung hari ini dengan acara berpasukan yang melibatkan saingan blok pertama. -TVS.