KUCHING, 22 Sept: Beberapa laluan di Bandaraya Kuching akan ditutup sempena perasmian sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 bertempat di Stadium Perpaduan bermula jam 7 malam ini sehingga selesai.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, sehubungan dengan itu bagi melancarkan pergerakan aliran trafik, pihak polis akan membuat penutupan jalan bermula jam 2 petang ini.
“Penutupan jalan itu membabitkan bulatan Kesuma Resort, lorong masuk ke tempat letak kenderaan di hadapan Stadium Negeri Sarawak, penutupan lencongan ke tempat letak kenderaan belakang Stadium Sarawak.
“Turut ditutup ialah persimpangan court squash ke Stadium Sarawak, jalan masuk menghala ke pintu ‘D’ Stadium Sarawak, jalan masuk menghala ke pintu ‘A’ Stadium Sarawak, penutupan sebelum simpang Kampung Stadium, “ katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai yang ingin hadir dinasihatkan supaya menggunakan laluan untuk ke tempat letak kenderaan awam yang telah dikhaskan iaitu dari arah bulatan Sesco dinasihatkan membuat pusingan ‘U’ di bulatan Casuarina kemudian melalui jalan Casuarina untuk masuk ke simpang jalan Stadium (ring).
“Kenderaan yang melalui jalan Diplomatik boleh terus masuk ke kawasan tempat letak kenderaan di tempat letak kereta di belakang Stadium Sarawak,” ujarnya.
Katanya, seterusnya untuk laluan keluar orang ramai dari kawasan stadium adalah kenderaan yang dari tempat letak kenderaan Stadium Sarawak, dinasihatkan keluar menggunakan Jalan Diplomatik menghala ke Demak.
“Kenderaan yang dari Jalan Stadium (ring) dinasihatkan keluar melalui Jalan Stadium (ring) menghala ke Jalan Casuarina. Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang datang agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan,” jelasnya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900. – TVS