WASHINGTON, 21 Sept: Seorang wanita berusia 60 tahun mengalami melecur tahap kedua dan ketiga pada bahagian bawah kakinya minggu ini ketika berjalan di luar laluan di Taman Negara Yellowstone, Wyoming, Amerika Syarikat, kata pegawai.
Menurut United Press International (UPI), wanita yang tidak dikenali dari Windsor, N.H., cedera pada petang Isnin ketika berjalan bersama suami dan anjingnya yang bertali, di kawasan haba berhampiran Mallard Lake Trailhead di Old Faithful, kata Perkhidmatan Taman Negara dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pegawai berkata dia melecur terkena air panas apabila dia terpijak kerak nipis sedimen yang terbentuk di atasnya. Suami mahupun anjing mereka tidak cedera.
Wanita itu dirawat oleh kakitangan perubatan di klinik taman itu sebelum diangkut dengan helikopter ke Pusat Perubatan Wilayah Idaho Timur untuk rawatan lanjut.
Insiden itu yang sedang disiasat, merupakan kecederaan haba pertama yang direkodkan tahun ini, menurut pegawai yang mengingatkan pelawat untuk menggunakan laluan kayu dan denai di kawasan hidroterma.
Insiden itu berlaku hampir dua bulan selepas letupan hidroterma berlaku pada 24 Julai di Taman Negara Yellowstone.
Letupan itu yang menghamburkan serpihan hitam dan kepulan asap ratusan kaki ke udara, menyebabkan pelawat melarikan diri, walaupun tiada kecederaan dilaporkan. – TVS