MIRI, 21 Sept: Pertandingan reka cipta video menjadi platform menggalakkan inovasi dan memperkukuhkan pendidikan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Negeri Sarawak, Adana Jed, berkata inisiatif itu bukan sahaja memupuk bakat kreatif pelajar, tetapi juga berperanan penting untuk menyampaikan mesej pendidikan secara lebih berkesan dan inovatif.
“Tahun ini, kita memilih media video pendek sebagai medium kita. Melalui video ini, kita dapat melihat mesej-mesej pendidikan, serta pendekatan untuk menyampaikan pendidikan itu sendiri,” katanya kepada TVS hari ini.
Pertandingan ini katanya turut mendedahkan para pelajar kepada pelbagai kemahiran, termasuk penyuntingan video, pengarahan, dan lakonan.
“Kualiti video-video mereka sungguh memeranjatkan, dengan banyak faedah yang boleh diperoleh. Ia juga berpotensi menjadi bahan pembelajaran yang berterusan dalam pendidikan,” tambahnya lagi.
Menurutnya video para pemenang akan ditayangkan kepada umum dengan kerjasama stesen TV tempatan seperti TVS dan disunting semula untuk mencapai standard yang lebih tinggi.
“Kita bekerjasama dengan FINAS untuk menyunting video-video ini, dan apabila ia dipersembahkan dengan baik, ia boleh menarik lebih ramai penonton, seterusnya menjadikan mesej yang disampaikan lebih berkesan,” ujar Adana.
Pertandingan ini ujarnya diharap dapat memberi manfaat jangka panjang, bukan sahaja sebagai platform kreativiti, tetapi juga sebagai alat pendidikan berterusan untuk masyarakat luas. -TVS