KUCHING, 21 Sept: Sebanyak tujuh stesen minyak di Sarawak dikesan mencatatkan rekod jualan diesel dan petrol RON95 yang tinggi dan luar biasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tujuh stesen minyak tersebut antara 38 buah stesn minyak di seluruh negara yang dikesan KPDN merekodkan jualan seperti itu.
Menurutnya, KPDN akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap stesen minyak terbabit bermula Oktober depan.
“Kita mahu mereka bertanggungjawab dan memberikan maklumat sekiranya ada kenderaan diubah suai untuk tujuan belian berulang.
“Begitu juga syarikat minyak, mereka mempunyai rekod jualan di stesen minyak yang membekalkan minyak kepada syarikat tertentu, kita menuntut kerjasama untuk tampil memberikan laporan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Karnival KPDN Peringkat Zon Sarawak di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun Armizan tidak menyatakan jumlah jualan minyak yang disifatkan tinggi dan luar biasa oleh stesen minyak terbabit.
Beliau menasihati stesen minyak yang terlibat untuk menyediakan maklumat dan rekod jualan bagi tujuan penilaian oleh KPDN Oktober depan.
Tambahnya, menerusi Op Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 19 September lalu, sebanyak 31,762 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara.
“Sebanyak 2,121 kes berjaya diselesaikan membabitkan nilai rampasan RM81.4 juta dengan 531 individu ditahan sepanjang tempoh tersebut.-TVS