SARIKEI, 21 Sept: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga emas lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Taman Tasik di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Haron Jenai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 11.55 malam dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati mangsa seorang lelaki berusia 61 tahun terbaring di tepi tasik. Setelah membuat ‘size up’ didapati mangsa masih bernafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Sarikei.
“Menurut maklumat daripada isteri mangsa, mangsa terjatuh ke dalam tasik dan berjaya diselamatkan dan dibawa naik dengan bantuan orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi,” ujarnya. – TVS