SIBU, 21 Sept: Pasukan bomba bertindak pantas memadamkan kebakaran bilik stor penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG) di Hotel Kingwood di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 1.20 tengah hari.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dengan sebuah jentera FRT dan EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengawal situasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran hanya melibatkan stor penyimpanan tong LPG 50 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sekurang-kurangnya 16 tong gas terbakar dalam insiden tersebut.
“Jumlah sebenar tong gas yang terbakar masih dalam proses pengesahan dan kerja pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran, 200 kaki hos, tiga nozel, pam jentera dan sumber air dari pili bomba berdekatan.
“Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa namun pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dengan pantas dan api berjaya dikawal pada jam 1.45 petang.
“Selepas itu, pasukan bomba melakukan proses penyejukan kerana dikhuatiri masih ada kebocoran gas di lokasi,” ujarnya.-TVS