KUCHING, 21 Sep: Penglibatan lebih banyak agensi atau syarikat dalam menganjurkan program mencungkil bakat penting untuk mengetengahkan kelebihan dimiliki anak muda termasuk dalam sukan bola sepak.
Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata, Kejohanan Bola Sepak Tertutup Belia Petronas 2024 menjadi contoh dalam mencungkil bakat anak muda Sarawak.
“Kita berharap pada masa akan datang, ada pemain mewakili Sarawak atau Malaysia datang dari kejohanan ini.
“Penganjuran kali ini menyaksikan setiap kumpulan perlu mempunyai jurulatih yang membantu mereka mengasah bakat dan bermain secara profesional kerana anak-anak berusia 10 hingga 12 tahun tahu cara bermain dengan bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS di Padang Bola Sepak Sintetik KDFA Taman Sourabaya Indah di sini, hari ini.
Menurutnya, ibu bapa dan ahli keluarga turut memberi sokongan padu dan menjadi pembakar semangat kepada pemain muda menunjukkan aksi bertenaga.
“Jika anak-anak terlibat secara aktif dan berdedikasi dengan sukan seperti ini, masa depan belia Sarawak sangat cerah,” ujarnya.-TVS