KUCHING, 21 Sept: Sesi raptai penuh bagi Majlis Perasmian Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 berjalan dengan lancar dan bakal menyerlahkan kesepaduan rakyat di Sarawak yang berbilang kaum melalui persembahan-persembahan yang akan ditunjukkan pada hari acara sebenar pada Ahad ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia pada masa sama dapat memberi peluang kepada anak-anak kecil bermula dari peringkat prasekolah dan sekolah rendah untuk menonjolkan bakat serta kebolehan mereka.
“Kita hendak tunjukkan bahawa jika (seseorang itu) diberi peluang dan latihan yang secukupnya, maka mereka juga boleh menjadi seorang artis yang profesional.
“(Antara) artis yang kita jemput untuk membuat persembahan nyanyian, misalnya Syafieqah Marzuki dari Sibu, ini adalah apa yang kita panggil sebagai pengenalpastian bakat.
“Bakat itu perlu dikembangkan dengan memberi peluang dan kita juga merasakan bahawa anak-anak Sarawak ini memang ada bakat mereka tersendiri dari segi suara dan persembahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai sesi raptai penuh Majlis Perasmian Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21, di Stadium Perpaduan di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Fatimah yang juga selaku menteri bertanggungjawab kepada penganjuran Para SUKMA 2024 berkata, seramai 350 orang peserta yang mengambil bahagian untuk membuat persembahan pada malam perasmian kelak.
“Kita ambil dari berbagai peringkat, bermula daripada kanak-kanak di peringkat prasekolah dan sekolah rendah sehinggalah ke peringkat pelajar-pelajar di sekolah menengah. Selain itu, terdapat juga persembahan daripada pelajar-pelajar Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo.
“Kita mahu menjadikan persembahan pada malam itu nanti kelihatan inklusif, iaitu yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) itu sendiri dan menyerlahkan bakat-bakat anak Sarawak yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Tambah Fatimah, beliau berharap orang ramai dapat memberikan sokongan yang sama kepada atlet para yang bakal beraksi pada temasya Para SUKMA kali ini, seperti yang ditunjukkan pada SUKMA 2024 yang baru sahaja melabuhkan tirainya bulan lepas.
“Kita juga berharap sokongan yang sama dapat diberikan kepada atlet OKU kita, sama ada pada majlis perasmian mahupun penutupan.
“Ini adalah peluang untuk kita menunjukkan yang terbaik dari segi nilai, iaitu nilai dalam memberikan sokongan kepada atlet OKU dan saya percaya dengan adanya sokongan ini, mereka akan berasa terinspirasi dan bermotivasi untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya.
Untuk rekod, seramai 1,290 atlet para yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet wanita bakal bersaing dalam temasya Para SUKMA 2024, yang berlangsung dari 22 hingga 28 September ini, melibatkan 10 jenis sukan di 10 venue. – TVS