KUCHING, 21 Sept: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak akan menganjurkan bengkel perhubungan awam dan perhubungan media pada 23 hingga 24 September ini.
Bengkel tersebut dianjurkan untuk mengukuhkan kebolehan berkomunikasi dan pengucapan awam dalam kalangan peserta.
Menurut kenyataan AZAM Sarawak, bengkel tersebut merupakan inisiatif bukan sahaja meningkatkan kebolehan pengucapan dan komunikasi berkesan tetapi menjadi medium dalam menangani cabaran PR.
“Program ini bukan sahaja mengukuhkan kebolehan komunikasi kakitangan tetapi menawarkan perspektif baharu dalam menangani cabaran PR.
“Selain itu, ia memastikan kami sentiasa mengikuti tuntutan dan trend semasa terutama dalam menguruskan serta menangani krisis yang mungkin dihadapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa kita sedari,” menurut kenyataan tersebut.
Selepas kejayaan menganjurkan bengkel latihan pengacaraan bulan lepas, AZAM Sarawak terus komited menganjurkan latihan perhubungan awam dan media sekali gus memberi pengalaman menarik kepada peserta.
Menurut kenyataan itu lagi, bengkel dua hari itu kelak akan menjadi alat untuk mengurus perhubungan media, menangani krisis dan melibatkan pihak berkepentingan secara berkesan.
“Kami membuka latihan ini kepada kakitangan, organisasi luar dan orang ramai bagi memberi peluang unik dan mendapatkan pengalaman berharga dalam strategi praktikal ini.
“Bengkel ini perlu disertai untuk mereka yang ingin meningkatkan kemahiran perhubungan awam dan meningkatkan keupayaan berkomunikasi secara dinamik dan berkesan dengan media, pihak berkepentingan dan orang ramai,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, bengkel tersebut turut memberi penekanan terhadap kemahiran moden kepada peserta dalam mengemudi media dan komunikasi masa kini yang penuh cabaran.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi AZAM melalui platform media sosial AZAM Sarawak.-TVS