SUNGAI PETANI, 21 Sept: Tindakan seorang lelaki memandu kereta secara melawan arus sejauh kira-kira 40 kilometer (km) mengundang padah selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain di Kilometer 81.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini tengah malam tadi.
Insiden kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan ke atas kedua-dua pemandu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati pemandu kereta jenis Proton Saga telah melawan arus dengan bergerak di laluan bertentangan kerana terlepas simpang keluar susur Alor Setar Selatan.
“Pemandu berusia 24 tahun itu telah memandu sejauh kira-kira 40 km melawan arus.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 53 tahun gagal mengelak sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, lelaki yang memandu kereta sendiri itu ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Muda di sini untuk siasatan lanjut.
“Ujian darah dibuat di Hospital Sultan Abdul Halim dan sampel itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk mendapatkan keputusan.
“Kemalangan turut menyebabkan bumper hadapan kedua-dua kereta rosak selain bonet kemik dan cermin hadapan pecah,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, kejadian tersebut tular di media sosial apabila terdapat video yang memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus di lorong kanan lebuh raya.
Rakaman dipercayai dibuat oleh pemandu lain itu menunjukkan kawasan lebuh raya itu yang tidak mempunyai lampu jalan. – TVS