SERIAN, 21 Sept: Masyarakat perlu memainkan peranan mereka sendiri dalam menjaga kesihatan agar terhindar dari sebarang penyakit dan masalah kesihatan khususnya berkaitan kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan hanya mampu menyediakan perkhidmatan dan fasiliti yang dapat membantu menjaga masalah kesihatan, namun peranan menjaga diri sendiri amat-amat penting untuk diamalkan masyarakat.
Jelasnya, melalui karnival-karnival kesihatan atau jelajah agenda nasional Malaysia sehat merupakan platform yang terbaik bagi masyarakat mendapatkan tunjuk ajar, informasi dan langkah terbaik dalam meningkatkan tahap kesihatan.
“Saya fikir perkara yang paling penting ialah rakyat sihat, baharu negara atau negeri sihat itulah prinsip asas, jadi ini bermakna kita mahu semua orang sihat tetapi macam mana nak sihat anda mesti menjaga diri anda sendiri sebab jika anda sendiri tidak menjaga diri anda, bagaimana boleh menjadi sihat.
“Doktor tidak boleh bersama anda, jururawat tidak boleh bersama anda, tiada siapa boleh bersama anda setiap masa jadi cara untuk menjaga diri anda mengikuti karnival seperti ini, mereka banyak melakukan pengajaran, perkongsian ilmu dan itulah sebabnya penting untuk kita mempelajari semua pengetahuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan sempena Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sarawak dan Jelajah Agenda Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Serian 2024 hari ini.
Tambahnya, masyarakat juga diminta agar memastikan pemakanan senantiasa dijaga termasuk mengurangkan pengambilan gula dan mengelakkan makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berat badan terus bertambah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata, pelaksanaan Karnival Kesihatan sempena Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sarawak dan Jelajah Agenda Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Serian 2024 berperanan penting dalam memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat.
Jelasnya, ia mempromosi pembudayaan hidup sihat bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan dalam kalangan komuniti berkenaan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) termasuk berkaitan pemakanan dan penganjuran karnival ini memberi pendedahan sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kesihatan.
“Objektif utama sambutan ini adalah untuk mengubah minda serta meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia. Ia penting tentang mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan,” jelasnya.-TVS