LIMBANG, 21 Sept: Sarawak memberi penekanan kepada usaha melahirkan rakyat berilmu dan berkemahiran tinggi ke arah menjadi wilayah maju menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang komprehensif untuk memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
“Kita sebagai rakyat Sarawak seharusnya mendokong inspirasi dan wawasan kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan menambah ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang agar memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
“Sarawak juga berada pada landasan tepat kerana umum mengetahui wilayah ini terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, bahasa, warna kulit dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Limbang 2024 di Dewan Suarah malam tadi.
Awang Tengah menjelaskan, rakyat Sarawak juga perlu bersedia berdepan cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 yang begitu pantas.
“Kita perlu lebih berinovatif, kreatif dan memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing serta jati diri dalam membangunkan bangsa mengikut acuan sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, masing enam qari dan qariah menyertai majlis tersebut yang mewakili zon Sundar, Lawas dan Limbang.
Musidi Drahman dari Limbang dan Eza Nurumaiza Japarudin (Lawas) dinobatkan sebagai johan qari serta qariah.
Hadir sama Residen Limbang Yunus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely.- TVS