LAWAS, 21 Sept: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mencadangkan sebuah pusat latihan khas untuk orang kelainan upaya (OKU) yang lebih teratur diwujudkan di Lawas.
Beliau berkata, pada masa ini, Lawas hanya mempunyai Pusat Pemulihan Dalam Komunti (PDK) dan pusat sehenti yang diwujudkan hasil kerjasama dengan pihak swasta seperti PETRONAS.
“Buat masa sekarang kita tumpukan kepada PDK namun kita merancang mewujudkan pusat latihan lebih teratur.
“Ini perlu diberi perhatian kerana anak OKU dan istimewa mempunyai bakat serta kebolehan. Mereka tidak harus dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai keperluan mewujudkan pusat latihan khas OKU di Lawas selepas merasmikan Program Wanita Dinamik di Lawas hari ini.
Mengenai Program Wanita Dinamik, Awang Tengah memuji usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kerana memperkenalkan pendekatan berbeza bagi membantu wanita.
“Biasanya bantuan atau program diberikan kepada syarikat atau individu berdaftar tetapi melalui program ini, ia menumpukan kepada ketua isi rumah dan tidak memerlukan pendaftaran,” ujarnya.
Menurutnya, peniaga kecil turut memainkan peranan penting dalam membantu merancakkan ekonomi.-TVS